Friday, July 29, 2011

UBAT VS PENYAKIT

Assalamualaikum..
SubnaAllah..Lama tidak buka laman blog.. Sudah berabuk rupanya.. Impianku ingin sentiasa istiqamah dalam bidang ini. Namun sering kali perasaan 'malas' menghantui diri. Sering kali syaitan 'sms' hati ini supaya menghentikan daripada menjengok laman blog ini. Ya Allah, tetapkan hatikum supaya aku bisa istiqamah dalam menyampaikan walau sebaris ayat.

Tertarik dengan sebaris kata yang dilontarkan oleh Imam Muda Asyraf. Terdapat sesuatu perkara yang ia boleh menjadi ubat yang paling mujarab ataupun ia juga boleh menjadi penyakit yang paling merbahaya. Ia adalah HATI IBU DAN AYAH..

Bercerita tentang ibu dan ayah, hati mana yang tidak meruntun. Tidak bercerita tentang orang lain, saya bercerita tentang diri sendiri. SubhanaAllah, saya antara insan yang bertuah kerna masih mempunyai insan bernama mama dan abah. Sering kali saya melihat video kelahiran, dan sehingga kini saya pasti mengalirkan air mata melihat jerih payah seorang ibu melahirkan insan ke dunia. Ibu hampir maut untuk melahirkan zuriatnya. MasyaAllah. Namun, masih ada anak-anak yang bercakap kasar, meninggikan suara dengan ibu dan ayah.

Hati ibu dan ayah adalah perkara yang amat penting perlu dibelai dengan sentuhan. Kadang kala menegur mereka dengan cara yang paling lembut sekali pun, pasti hati mereka akan terasa, hati mereka akan terguris. Mungkin, cara yang paling baik, adalah melalui sentuhan. Katakan kepada mereka, " Saya sayangggg mama dan abah". Biar mereka tahu, kata-kata yang dilontarkan adalah daripada insan yang begitu sayangkan mereka.

Buat mama dan abah, dan buat ibu-ibu dan ayah-ayah di dunia ini, ketahuilah kalian semua, kami anak-anakmu, sentiasa mendoakan mu. Jika tidak jawapan mu, maka tidaklah jawapanku..Jika ya jawapanmu, maka ya jawapanku. Selagi ia tidak bertentangan dengan apa yang Allah minta, aku akan turuti apa yang kalian kamu.

Apabila kalian memperolehi keredhaan daripada mereka, kalian akan dapat merasai bahawa setiap langkah perjalananmu ada doa yang mengiringimu. Percaya, tanpa doa mereka, kamu tidak akan mampu berada di tahap mana kamu berada. Kadang kala terfikir, dahulu aku bukanlah seorang yang begitu pandai, tidak begitu rajin, dan jika difikirkan kembali, aku sebenarnya tidak layak untuk bergelar seorang guru. Namun, kini aku percaya, berkat doa seorang ibu dan ayah, semangat mereka, dorongan mereka, aku sampai di tahap ini. Inilah rahsia yang Allah simpan selama ini.

SubnaAllah, jika diberi kesempatan kepadaku, ingin ku balas jasa kalian berdua. Walaupun ku tahu, tidak akan mampu untuk aku balas walau setitik air susu yang aku minum darimu ibu. Keringat peluh ayah , tidak akan mampu untuk aku membalasnya. Namun, beri aku kesempatan ya Allah untuk aku jadi anak yang solehah. Ya Allah, panjangkan lah umurku, supaya aku boleh menjadi aset kepada ayah dan ibuku.

Jika diberi peluang oleh Allah, aku ingin merasai betapa perit, payah, gembira, terujanya hati seorang ibu tatkala lahirnya seorang insan daripada rahimnya sendiri. Aku ingin merasai, apa perasaan ibuku melahirkan anak, membesarkan anak, mendidik anak menjadi penegak agama Allah. InsyaAllah

Akhir kalam, ayah dan ibu semoga kalian sentiasa berada dalam rahmat Allah. Andai nanti Allah tanya kepadaku tentang kalian, aku bersaksi bahawa kalian telah menjadi role model yang hebat buatku. Kalian telah menjadi ayah yang soleh dan ibu yang solehah buatku. Aku ingin berpimpin tangan, beriringingan dengan ibu, ayah, keluarga dan sahabat-sahabat ke syurga nanti. Allahumma amin..

 Kumpulkan kami dalam syurgaMu ya Allah


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Wednesday, April 20, 2011

CERPEN : MATAHARI


MATAHARI

Pagi yang gelap kini sudah terang. Aiman bersama rakan-rakannya memulakan hari dengan satu semangat baru. Bermula dengan bacaan suci Al-quran seterusnya aktiviti senaman ringan. Pagi ini berbeza dengan hari-hari biasa. Tidak seperti kebiasannya, jurulatih bola baling akan mengarahkan mereka untuk turun ke padang dan berlari sebanyak 20 pusingan. Aktiviti permulaan dilakukan seperti berlari ulang alik sebanyak 50 kali ia sering kali menjadi rungutan Aiman dan rakan-rakannya. Namun kini, itulah aktiviti yang paling dirinduinya.

Kini, tibalah hari penentunya. Hari pertandingan bola baling peringkat Zon Kuala Besut.  Pagi itu, bacaan suci Al-quran diketuai oleh Iskandar, jurulatih bola baling.

“ Kamu semua ikut bacaan saya,” kata jurulatih.

“ Baik Daddy,” serentak kata-kata pemain bola baling.

Panggilan Daddy merupakan panggilan manja bagi jurulatih Iskandar. Ini semua untuk kami merasakan bahawa kami adalah satu keluarga.

“ Assalamualaikum semuanya. Harinya telah tiba. Hari yang kita semua nantikan selama ini. Segala usaha yang dilakukan selama ini, hasilnya adalah pada hari ini. Daddy tidak mengharapkan kejuaraan kalian. Namun, apa yang Daddy harapkan, semangat bersama yang kita semai selama ini membuahkan hasil. Peganglah kata-kata Daddy ini, jadilah seperti Matahari. Matahari hanya akan malap apabila kiamat tiba nanti. Walaupun peratus kejuaraan kalian hanya tinggal 0.0001% sahaja, jangan menyerah kalah,” sayup kedengaran suara Daddy, namun ia mampu menggetarkan hati-hati di hadapannya.

Lagu Sunnah Berjuang dimainkan sebagai memberi semangat. Masing-masing saling memberi semangat antara satu sama lain. Itulah yang cuba disemai dalam jiwa setiap anak-anak kecil ini.

Kelihatan beberapa pasukan melakukan latihan ringan untuk perlawanan nanti. Sebanyak 6 buah pasukan yang bertanding hari ini. Ia menggunakan sistem kalah mati.

Pasukan Aiman dan rakan-rakannya diberi nama pasukan Hope. Pasukan Hope telah memenangi perlawanan untuk peringkat suku akhir dan juga separuh akhir. Kini pasukan Hope akan memasuki ke peringkat akhir. Mereka akan bertemu dengan pasukan yang digeruni, di mana setiap tahun pasti kejuaraan milik mereka. Jiwa mereka mula resah, hati mereka mula tidak keruan. Masing-masing menyatakan bahawa pasti mereka akan kalah. Masing-masing mula meluahkan perasaan rendah diri dan tidak bersemangat.Mereka berkumpul di satu tempat bersama jurulatih mereka.

“ Anak-anakku, hanya satu pesananku. Jadilah seperti Matahari. Matahari hanya akan malap apabila kiamat tiba nanti. Walaupun peratus kejuaraan kamu hanya tinggal 0.01%, jangan menyerah kalah, berjuanglah sehingga ke akhirnya,” ujar jurulatih sambil tersenyum memberi semangat.

Kedengaran panggilan masuk ke gelanggang bagi pasukan Hope dan pasukan MT. Satu semangat meresap masuk dalam jiwa setiap anak kecil itu.

Perlawanan semakin sengit apabila set pertama dimenangi oleh pasukan MT dan set kedua dimenangi oleh pasukan Hope. Set ketiga adalah penentunya. Pasukan Hope dan pasukan MT sama-sama hebat. Sekarang tinggal mata penamat. Bola dibaling ke arah Aiman dan Aiman terus membaling ke arah Syafiq. Syafiq tanpa mebuang masa terus membaling kepada Afiq. Seterusnya Afiq terus membaling ke arah Fauzi dan dengan semangat Fauzi terus membaling ke arah penjaga gol. Masa seakan-akan terhenti. Penjaga gol pasukan MT tersungkur.

Preeetttt.

Masa tamat dan pasukan Hope menjuarai Pertandingan Bola Baling peringkat Zon Kuala Besut pada tahun 2011 dan sekaligus menjatuhkan pasukan MT yang telah menjuarai 3 tahun berturut-turut.

Kini, kenangan lalu menjadi sejarah yang terindah. Hampir semua pemain, menjadi jurulatih bola baling. Walaupun kerjaya mereka berbeza, namun kata azimat itulah yang sering dilaungkan. Jadilah seperti Matahari. Matahari hanya akan malap apabila kiamat tiba nanti.


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Saturday, April 2, 2011

Pesanan Buatmu

Bismillahirrahmanirrahim..
SubnaAllah, semoga entri ini tidak mengguris mana-mana hati sahabatku.. Tujuanku hanya satu, kerana teramat sayang akan kamu.. Dengarkan lah sahabat..

Sahabatku..
Jagalah maruahmu..
Nasihatku untukmu
Bukan kerna ku tidak laku

Hatiku sakit melihatnya
Bukan kerna akan keintimannya
Namun
Kecewa dikau membiarkannya
Menjadikan dikau bagai tidak punya apa-apa

Kau insan bertuah
Hargainya wahai teman
Letaklah Allah di hatimu
Pasti
Kau tahu mana satu jalannya..

Pulanglah..
Kerna Allah sentiasa menantimu
Rasulullah amat merinduimu..


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Wednesday, March 16, 2011

PUISI bUATMU~~Warga SK kampung Nangka

 BICARA HATI JIWA

Kau hadir tanpa dipinta
Anugerah terindah dari Pencipta
Hadirku 'menggintai' si intan permata
Sudilah kiranya kamu menerima

Harapanku
Kamu menerimaku tanpa soal bicara
Tutupilah apa yang kurang pada pandangan mata
Agarku bisa mesra bersama

Tidak ku pinta layanan apa-apa
Ku bukan anak si putera raja
Kini
Ku menghitung masa
Menanti saat kita bertentang mata
Buatmu warga SK Kampung Nangka
~16/3/2011~Rumah, Mersing 


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Friday, March 11, 2011

Panjangkan umur VS Diberkati umur


Bissmillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum kalian.Kaifa Haluka/i semuanya? Semoga semuanya dalam keadaan baik-baik sahaja, moga semuanya sihat dalam ketaatan kepada Allah.
Alhamdulillah, sehingga kini saya dan kamu semua masih diberi kesempatan untuk menikmati nikmat-nikmat Allah yang tidak terhingga. Hargainya sebelum ia terlambat saudara-saudaraku. Hargainya sebelum kita bersama-sama mengecapi kenikmatan yang abadi. InsyaAllah

Entri kali ini berkisar tentang UMUR.

PERSOALAN

Apakah umur yang diberi ini diberkati dan diredhai oleh Allah?

Kadang kala kita terlupa, acap kali tiba waktu hari yang dinanti, 'sambutan hari lahir' pasti ada orang yang mendoakan semoga panjang umur, semoga murah rezeki, semoga cepat kahwin dan lain-lain . Namun jarang sekali kita mendoakan orang lain dan juga diri kita, semoga umur yang diberi oleh Allah diberkati dan diredhai oleh Allah. Sedangkan itulah kenikmatan dan matlamat yang tertinggi dalam kehidupan kita di dunia untuk mencapai Mardhatillah (Keredhaan Allah)

Namun begitu, tidak salah berdoa semoga dipanjangkan umur. Namun sebaik- baik doa adalah
'Ya Allah KAU berkatilah dan redhailah umur yang telah KAU berikan padaku'
'Ya Allah KAU panjanglah umurku dalam ketaatan aku kepadaMU'


Lihatlah bagaimana Allah memanjangkan umur 'mereka-mereka' yang telah pergi namun bagaikan 'mereka' masih di sisi. Apa yang dilakukan oleh mereka, sehingga Allah mengangkat darjat mereka.

Imam As-Syafie, meninggal dunia pada usia 54 tahun. Namun lihatlah sehingga kini, namanya masih disebut-sebut. Ilmunya masih dicari-cari. 

Umar Bin Abdul Aziz, pemerintahan cuma 2 tahun sahaja. Namun lihatlah, apa yang mampu beliau lakukan dalam masa 2 tahun. Digunakan usia yang diberi oleh Allah dengan sebaik-baiknya. Masiat dapat dielakkan, rakyat dapat merasai rezeki-rezeki yang diturunkan oleh Allah.

Mus'ab bin Umair. Masa remajanya digunakan sepenuhnya untuk Islam. Walaupun sanggup berpisah dengan harta kekayaan dan juga ibu tercinta namun untuk Islam beliau sanggup meninggalkan ia.Namanya menjadi sebutan hingga kini, dijadikan idola dan model buat anak-anak remaja

Terlalu banyak insan yang Allah hadirkan sebelum-sebelum kita untuk dijadikan pengajaran dan diambil iktibar untuk kita sama-sama mencontohi mereka. Kajilah sejarah, kajilah Al-quran pasti dikau akan mengerti.

Siapa kata kita tidak mampu untuk melakukan ia? Banyak perkara yang boleh kita lakukan untuk diri kita, keluarga kita, sahabat kita, masyarakat, dan juga untuk negara.
Antara perkata-perkara yang boleh dilakukan dengan izin Allah, ia boleh 'memanjangkan' umur kita

1. Perbanyakkan sedekah.
Bila mana seorang anak adam itu bersedekah, selagi mana sedekah itu digunakan oleh orang lain, maka pahala sedekah itu akan sentiasa mengalir walaupun si dia sudah pun meninggal dunia

2. Jihad di jalan Allah
Jangan kamu merasa, mereka sudah mati, sedangkan mereka sentiasa hidup di sisi Allah. Pelbagai jihad boleh dilakukan. Jika mampu dengan lisan, lakukanlah. Jika mampu dengan pena dan penulisan, lakukanlah. Jika mampu dengan harta dan wang ringgit, lakukanlah. Jika mampu dengan jiwa dan raga, maka lakukanlah. Asalkan niatnya hanya kerana Allah

3.Elakkan maksiat dan lakukan kebaikan
Semakin kita melakukan maksiat, sebenarnya hati kita tidak pernah tenang Sentiasa di asak dengan hutang, diburu dengan orang-orang lain, dipandang hina oleh masyarakat. Lama-kelamaan hati menjadi sakit, hati menjadi parah. Tidak mustahil timbulnya penyakit barah. Bila mana kamu mendekati al-quran, mendekati Allah, hati pasti akan menjadi tenang. Hatinya bersih, hatinya suci menghadap Allah

4. Menunggu waktu-waktu yang istimewa yang diberikan oleh Allah
Namun tidak bermakna hanya wakti-waktu tertentu sahaja kita beribadat kepada Allah. Namun bila mana Allah memberi 'hadiah' buat hambanya, tak kan kita tidak mahu bukan. Tak kan kita tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk dapat hadiah tersebut bukan. Terlalu banyak 'hadiah istimewa' yang Allah berikan buat hamba-hambanya yang dikasihi dan disayangi. Contohnya, pada bulan Ramadhan, terdapat satu malam dinamakan Malam Al-qadar. Malam tersebut lebih baik dari 1000 bulan. Namun umat Muhammad, umur mereka, tidak lama. Oleh itu, Allah hadiahkan kepada mereka-mereka yang dikasihi dan disayangi. Beruntuglah bagi mereka yang berpeluang.

5. Mengeratkan sillaturrahim
Berbaik-baik dengan semua orang. Bila mana kamu mengucapkan salam ke atas orang lain, orang lain juga akan mengucapakan salam buat kamu. Mereka akan mendoakan kesejahteraan buat kamu. Orang yang dekat, dirapatkan, mereka yang jauh, didekatkan. Bagi dua orang yang bergaduh, orang yang lebih baik adalah orang yang mengucapkan salam terlelbih dahulu. Bermakna orang yang lebih baik adalah orang yang memulakan persahabatan setelah berlaku perselisihan faham.

6. Berdoalah kepada Allah
Akhir sekali, berdoalah kerna doa merupakan senjata bagi orang mukmin. Keajaiban berdoa kepada Allah, jika kamu benar-benar merasakan Allah dekat dengan kamu, kamu akan merasainya, percayalah.

PENUTUP

Buat kalian semua, dan juga peringatan buat diri sendiri, semoga Allah memberkati umur yang diberikan kepada kita dan semoga Allah memanjangkan umur kita dalam ketaatan kita kepada Allah. Semoga pengakhirat umur kita sebagai Husnul Khatimah (Pengakhiran yang baik).Kita tidak tahu bagaimana berakhirnya umur kita nanti. Walaupun mudah sekarang ini untuk menyebut kalimah 'ALLAH', namun ingatlah tibanya sakaratul maut, pelbagai dugaan datang ketika itu. Ketika itu, hanya IMAN penyelamat kita. Moga kita semua lulus dengan cemerlang dalam 'exam' Allah ketika itu. Amin..



Kemalangan yang melibatkan 4 orang pelajar IPG Sultan Mizan
 Gerik, 10/3/2011
Takziah 
Kami turut merasainya
Semoga kamu tenang di sana
Hanya kamu dan Allah sahaja yang tahu




Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Thursday, February 24, 2011

Seandainya aku tahu


Seandainya aku tahu
Kesakitan sakaratul maut
Nescaya aku akan lebih banyak menangis 

Seandainya aku tahu
Azab kubur itu menyakitkan
Nescaya aku akan lebih banyak menangis

Seandainya aku tahu
Kepayahan menjawab soalan Mungkar dan Nakir
Nescaya aku lebih banyak menangis

Seandainya aku tahu
Terdiamnya aku di hadapan persoalan Allah
Nescaya aku lebih banyak menangis

Seandainya aku tahu
Kepanasan api neraka tidak terperi 
Nescaya aku akan lebih banyak menangis

Seandainya aku tahu
Kehidupan di dunia hanya sebentar cuma
Nescaya aku akan lebih banyak menangis

Seandainya aku tahu
Apa yang diketahui oleh Nabi
Nescaya aku akan lebih banyak menangis


Ya Allah
Kekalkan perasaan ini dalam diriku

~Jumaat~
~25/2/2011~
~Bilik~



Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Thursday, February 17, 2011

SAYA TUNGGU AWAK ..


Ketika ini
Perasaan itu hadir kembali

Namun
Ku tetap menunggu
Sehingga akhir waktu

Suatu masa
Dengan izin Allah
Pasti
Dikau akan kutemui

Bagai menangkap kumbang 
Di tepi sayap malaikat
Kini
Dalam debaran
Dalam diam
Dalam iman
Tinggal aku untuk terus menunggu
 

Buat awak
Saya akan menunggu
Diiringi doa dan usaha
Moga Allah redha

~Khas untuk awak~
~6.55 p.m~
~17/2/2011~
~Bilik~


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Monday, January 31, 2011

HUJAN~~


HUJAN

Ku menunggumu 
Indah
Andai engkau tahu
Aku selalu ada untuk kamu
Setia menanti
Setiap satu titik 
Mengandungi rahmat Allah
Bagi orang-orang yang memerhati
Engkau penghubung
Antara langit dan bumi
SubnaAllah

~ 9.04 p.m~
~31/1/2011~
~Isnin~
~Rumah, Mersing~


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Wednesday, January 19, 2011

BAHAGIAN 1~ TAK SAMA TAPI SERUPA


Bissmillahirrahmannirrahim..Assalamualaikum semuanya. Entri kali ini adalah percubaan kali pertama mengolah sebuah cerpen. Merupakan percubaan kali pertama.:) Ini merupakan bahagian pertama, insyaAllah ada sambungannya.. InsyaAllah, hayatinya

BAHAGIAN 1
TAK SAMA TAPI SERUPA
 
“ Kita akhiri majlis kita dengan tasbih kafarah dan surah al-ans”, kataku

“Alhamdulillah, semoga apa yang kita hari ini, bukan terhenti di sini sahaja, sebenarnya permulaannya adalah selepas ini.Marilah kita sama-sama mengamalkan apa yang kita dapat tadi, supaya ilmu yang kita dapat itu akan membuahkan hasil yang terus mekar dan berdoalah semoga usaha yang kita lakukan diterima oleh Allah”, ujarku lagi sambil tersenyum memandang adik-adikku yang lain.

“Kak qurratul ain, boleh husna nak tanya sesuatu,?” Aku memandangnya dengan tersenyum. Jarang sekali orang memanggilku dengan nama penuh. Kebiasaannya hanya ain atau qurratul. “Boleh dik, apa dia?”

“ Akak macam mana ye kalau orang yang baik dari segi kerja-kerja agama untuk Allah, tetapi mengabaikan kerja-kerja duniawi contohnya lambat hantar ‘assignment’, lewat datang kuliah dan sebagainya.Tidakkah mereka itu serupa dengan yang lain-lain,” tanyanya dengan penuh berhikmah.

Aku terkedu seketika. Adik husna ni cakap tentang aku ke.Aku hanya mampu tersenyum, “dik manusia itu bukan sempurna, pasti ada cacat celanya,”. Adik itu hanya tersenyum.

Aku membersihkan diri. Aku ingin mengejar solat jemaah maghrib di surau. Aku ingin pastikan aku tiba awal di surau supaya aku boleh dijadikan contoh buat adik-adik yang lain dan supaya aku dapat menjadi makmum yang muafik.

“Alamak, baju banyaknya belum basuh.Alamak kau ni meja, serabutnya.”Tak mengapalah, balik nanti aku kemaslah. “Haura’, afwan ye, tempat aku bersepah la.Nanti balik dari surau aku kemas ye,”. Haura’ hanya mampu tersenyum. Acap kali bicara itu dituturkan, akhirnya tangannyalah yang mengemas.

Alhamdulillah, moga Allah terima solat jemaahku tadi. Tibe-tibe terdengar seseorang membuat pengumuman. Ustaz Zamri tiada hari ini. Tetapi digantikan oleh seorang ikhwah. Aku kenal benar dengan suaranya, Akhi Ashraf.

“ Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah setan. Sesungguhnya setan itu musuh yang nyata bagimu. Tetapi, jika kamu menyimpang (dari jalan Allah) sesudah datang kepadamu bukti-bukti kebenaran, maka ketahuilah bahawa Allah Maha Perkasa dan Maha Bijaksana.” ( Al- Baqarah : 208-209).Lantang sekali suaranya. Jelas dan kulihat semua orang diam bertafaktur.

Akhi Ashraf mengulang ayat “ Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan” sebanyak 3 kali. “Wahai jemaah-jemaah yang dikasihi Allah, janganlah disebabkan sikap kamu menjadi fitnah kepada orang lain. Usah kamu mengira bahawa apa usahamu selama ini sudah cukup untuk kamu mencium syurga Allah. Sabda Rasulullah, Tidak ada yang masuk syurga, di dalam hatinya ada perasaan takkabbur dan sombong walaupun sebesar zarah. Ingatlah wahai hamba-hamba yang disayangi Allah. Tugas kamu sebagai hamba dan khalifah Allah amat berat. Satu-satunya jawatan yang tidak dapat kita lepaskan adalah sebagai khalifah. Sedangkan gunung pun tidak mampu untuk melaksanakannya. Namun Allah pilih kamu, wahai sahabatku. Malaikat mengatakan bahawa manusia akan melakukan kerosakkan. Tetapi apa jawapan Allah, wahai sahabatku, kamu tidak tahu apa yang Aku tahu. Allah mengangkat darjat kita, sahabat. Islam itu luas, ia bukan sahaja apa yang kamu tahu. Ilmu Allah itu luas, semakin banyak yang kamu tahu, semakin banyak kamu tidak tahu. Apakah kamu mengira kedatangan kamu sudah banyak melakukan kerja-kerja Islam? Cukupkah dengan jemaah di surau, cukupkah dengan kamu pergi usrah, cukupkah dengan amalan-amalan sedekahmu? Adakah ia berbaloi dengan ganjaran syurga yang Allah ingin berikan.Jika kamu mengira, amalanmu sudah cukup, maka berhentilah. Usah bekerja lagi untuk Allah. Ingatlah sahabatku, setiap saat dan detik, akan ditanya oleh Allah. Percayalah, kamu tidak akan mampu untuk menjawab setiap pertanyaan Allah. Ayat yang ana bacakan mula-mula tadi, menyatakan amaran Allah supaya kita masuk dalam Islam secara keseluruhan. Seluruh kehidupan kita adalah ibadah. Apakah kamu mengira belajar itu tidak ada dalam Islam, kesihatan itu tiada dalam Islam, berhias diri itu tiada dalam Islam? Bermula kamu celik mata daripada tidur, sehinggalah kamu ditidurkan kembali, semuanya adalah ibadah dan semuanya termasuk dalam Islam. Kajilah saudaraku tentang sunnah-sunnah yang ditinggalkan oleh Rasulullah buat kita. Pasti kamu menemui jawapannya.

Aku terdiam seketika


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Tuesday, January 18, 2011

Adat vs Sunnah


Assalamualaikum semuanya. Alhamdulillah, hampir seminggu tidak menekan keypad computer untuk meneruskan perjuangan. Dengan izin Allah, hari ini Allah menggerakkan hati ana untuk melakarkan sesuatu untuk dijadikan ibrah buat diri sendiri dan kalian semua.

Entri kali ini berkisar tentang adat istihadat yang begitu kuat diamalkan oleh masyarakat-masyarakat 'orang lama'. Remaja-remaja kini 'kurang gemar' jika dibandingkan dengan 'orang-orang lama'. Saya kecilkan skop mauduk(topik) kita kepada yang lebih kecil. Saya lebih suka memilih mauduk berkisar perkahwinan kerna perkahwinan sangat sinonim dengan adat resam yang saya kira begitu unik.



PERSOALAN

Adakah salah kita mengikut adat? Bagaimana pula dengan sunnah yang diajar oleh Rasulullah? Bagaimana hendak pertemukan titik pertemuan antara adat dan sunnah?

PERMULAAN PEMBINAAN BAITUL MUSLIM

Kita mulakan pada peringkat permulaan. Apabila seorang anak gadis sudah meningkat dewasa, mereka sudah mula memikirkan untuk berumah tangga. Apabila seorang anak teruna sudah mengenal erti cinta, mereka mula untuk membina sebuah masjid, mula memikirkan untuk meramaikan anak-anak adam dan umat Nabi Muhammad, katanya. Tidak mengira sama ada sudah tamat belajar ataupun semasa belajar sehingga ada yang sanggup menangguhkan alam belajarnya semata-mata untuk membina sebuah keluarga bahagia, kata mereka.Namun mentaliti sesetengah masyarakat 'orang-orang lama' , apabila seseorang individu sudah tamat persekolahan, mereka perlu melanjutkan pelajaran ke universiti @ kolej @ poli @ maktab dll kemudian, tamat belajar, bekerja dalam setengah tahun atau satu tahun, barulah mereka dibenarkan untuk bernikah. Itu mentaliti sesetengah masyarakat. Namun jika ditolak, tambah, seseorang yang keluar dari tingkatan 5, berumur 17 tahun. Di universiti lebih kurang dalam 5 tahun, bekerja dalam setahun dua beerti umur mereka sudah menjangkau 24 tahun. 

Rasional mengapa mereka meletakkan 'syarat @ adat' sebegitu?

Firman Allah : Allah mengangkat darjat orang yang berilmu di akhirat kelak ~ Al-mujadalah : 11
Berdasarakan firman Allah tersebut, betapa besar darjat orang yang berilmu di akhirat kelak. Kamu diberi pilihan sama ada untuk hidup hina ataupun diangkat darjatmu di akhirat kelak. Saidina Ali juga pernah berkata antara ilmu dan harta, ilmu apabila diamalkan tidak akan berkurang, tetapi harta jika digunakan akan berkurang. Memang tidak dinafikan ada contoh-contoh insan yang boleh dijadikan contoh, bagaimana mereka boleh melayari kehidupan sebagai seorang pelajar dan dalam masa yang sama sebagai isteri ataupun suami. Tidak cukup dengan contoh-contoh insan lain. Dimasukkan pula dengan sunnah, sadaitina Aisyah, bernikah pada usia yang sangat muda. Sadaitina Fatimah, anakanda Rasulullah juga menikah pada usia yang muda. Tidak salah mengikut sunnah. Saya ulang sekali lagi, TIDAK SALAH. Namun, lihatlah kebolehan diri sendiri. Jika masih bujang kini, masih bangun lewat, masih tidur selepas subuh, masih malas untuk basuh baju, untuk uruskan diri sendiri masih memerlukan bantuan ayah dan ibu, fikir-fikirkan lah. Adakah wajar seorang ibu ingin melepaskan anaknya untuk menjaga anak orang lain dalam keadaan yang 'belum bersedia'.. Renung-renungkan, kadang kala perasan atau tidak puncanya bermula daripada kita, sebab ibu dan ayah belum memerikan 'lesen' untuk bernikah..:)

 MERISIK

Seterusnya, kita teruskan perjalanan kita apabila dua hati hampir menjadi satu.:) Bermulalah dengan merisik, meminang, bertunang dan seterusnya bernikah dan majlis walimatul urus.  Adat sebegini amat dititik beratkan oleh 'orang-orang lama'. Jika tidak dilakukan bagaikan telah melanggar sesuatu yang sangat besar. Tidak manis dipandang orang, takut menimbulkan fitnah, kata mereka.
Jom kita check ada ke tidak proses sebegini, pada zaman Rasulullah SAW..Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Fatimah binti Qais yang bermaksud: Fatimah binti Qais telah berjumpa Rasulullah SAW menceritakan bahawa Mu’awiyah dan Abu Jahm telah meminangnya, baginda bersabda yang bermaksud: Mua’awiyah seorang yang miskin tiada harta, manakala Abu Jahm pula seorang yang sentiasa mengantung tongkat di atas tengkoknya (garang dengan isterinya), maka kahwinlah dengan Usamah bin Zaid. (al-Bukhari dan Muslim ).
Dalam hadis ini Baginda Rasulullah SAW tidak melarang, malahan Nabi SAW membantu Fatimah binti Qais untuk mendapatkan pasangan yang sesuai dengannya. Peminangan adalah permulaan proses perkahwinan. Hukum peminangan adalah harus dan hendaklah bukan isteri orang, bukan mahram sendiri, tidak dalam idah, dan bukan tunangan orang.
Eh eh, maknanya dalm proses pemingan yang dilakukan sekarang ni, ada dilakukan dalam zaman Rasulullah. Maknanya apabila kita melakukan proses ini, dengan diniatkan kerana Allah, insyaAllah kita akan dapat pahala di sisi Allah

BERTUNANG 

Kita teruskan lagi dengan proses bertunang. Adat sekarang, pihak lelaki 5 dulang, pihak perempuan 7 dulang. Mesti ganjil, tidak boleh genap. Kalau genap, apa yang akan terjadi, tapi rasanya perkara itu tidak akan terjadi kerna ibu ayah akan pastikan perkara tersebut tidak akan berlaku. Jom check sunnah Rasulullah untuk hantaran (mahar) semasa bertunang. Pesan Rasulullah, "Pernikahan yang paling berkat adalah yang paling mudah perbelanjaannya."
"Sesungguhnya semulia-mulia perempuan itu ialah yang paling mudah urusan maharnya."
"Sebaik-baik mahar adalah yang paling mudah."
"Berilah mahar sekalipun sebentuk cincin daripada besi."
" Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu maskahwin mereka ". ( Surah An-Nisaa' - Ayat 4 )

Persepsi masyarakat sekarang, perbelanjaan untuk satu proses perkahwinan, pasti melebihi 20k. Jika tidak ada 20k, jangan mimpi lah nak buat majlis kahwin yang agak best sikit la. Bayangkan, hantaran untuk perempuan 10k, yang lain-lain lagi. Namun perlu diingat wahai muslimin dan muslimah, dunia sekarang sudah berbeza. Harga barang tidak sama dengan zaman dahulu. Gaji sekarang tidak sama dengan zaman dahulu. Untuk menemukan titik pertemuan antara zaman dahulu dengan zaman sekarang, amat sukar. Hanya segelintir sahaja yang benar-benar meletakkan mahar yang rendah. Perkiraan mahar saya kira, biarlah mengikut kemampuan bakal zauj (bakal suami). Contoh jika suami si A, gajinya hampir 10k sebulan, bakal zaujahnya meletakkan hantaran sebanyak 15k. Tidak mengapa, kerna bakal zauj nya seorang yang berkemampuan. Contoh kedua, suami si B, gajinya 3k sebulan. Bakal zaujahnya meletakkan 8k untuk maharnya. Tidak mengapa kerna bakal suaminya, berkemampuan. “ Berkemampuan” ini berbeza mengikut individu. Usah mudah menilai seseorang dengan terlalu cepat. Dunia sekarang, artis-artis meletakkan hantaran berpuluh ribu ringgit. Tidak mengapa, kerna mereka berkemampuan. Ukurlah diri dan pasangan masing-masing, tahap mana kemampuan kamu.

Kemudian, mengenai hal-hal ganjil dalam hantaran, ku kira, itu hanya adat yang amat sukar untuk diluputkan dalam diri ‘orang-orang dulu’. Namun tidak salah kita mengikut adat dan dalam masa yang sama adat itu dijadikan ibadah. Setiap apa yang kita lakukan adalah ibadah. Semuanya perlu bermula dengan niat. Suka saya pada satu hadis, Nabi Muhammad S.A.W bersabda,
 Allah memiliki sembilan puluh sembilan nama. Sesiapa yang mampu menghafalnya, nescaya dia akan masuk Syurga. Sesunggahnya Allah itu ganjil (esa pada zat, sifat danperbuatanNya serta tiada sekutu bagiNya) dan Dia menyukai pada yang ganjil
~H.R. Bukhari & Muslim

Allah sukakan perkara yang ganjil. Oleh itu, tidak salah kita mengikut adat selagi ia tidak melanggar hak-hak Allah. Lagi molek jika mengikut adat dan menjadikan adat itu sebagai satu ibadah.

MAJLIS WALIMAH

Mengadakan majlis walimah untuk pernikahan sepasang pengantin merupakan anjuran dan sunnah Rasulullah SAW kerana dengan adanya majlis walimah, sesuatu perkahwinan itu boleh diumumkan kepada khalayak, demikian juga para tetamu undangan boleh menghadirinya sambil bersilaturrahim dan mendoakan kebahagiaan pasangan pengantin. Ia juga sebagai satu tanda kesyukuran kepada Allah SWT kerana diberikan rahmatnya iaitu seorang menantu dan tanda kesyukuran ini ialah dengan menjamu tetamu makan terutama sekali yang miskin.

Islam mengajarkan umatnya untuk mendahulukan orang fakir miskin sebagaimana mafhum hadis berikut. Hal ini dijelaskan Rasulullah dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan Bukhari bermaksud: “Sejelik-jelik makanan ialah makanan dari majlis kenduri kahwin yang hanya dijemput orang kaya, orang fakir dan miskin tidak diundang untuk makan bersama.”

Mengadakan majlis walimah hukumnya adalah sunat muakad, sesuatu yang sangat dituntut dalam Islam. Namun amat sukar untuk mengelakkan ‘pembaziran’. Masyarakat takut untuk menanggung malu bila makanan tidak cukup, majlis tidak secanggih mengikut zaman sekarang. Cukuplah bersederhana. Fahamilah konsep bersederhana dalam Islam. Jangan sampai hendak terlalu berjimat sehingga menimbulkan fitnah dan jangan sampai berlebih-lebihan sehingga berlakukan pembaziran yang melampau. Raikanlah pasangan pengantin dengan alunan muzik supaya mereka rasa dihargai pada hari bahagia mereka.  Pada zaman Rasulullah, menyanyi ini adalah harus. Golongan ansar sangat suka bermain ghazal. Mereka bermain di majlis orang kahwin. Pernah suatu ketika, Aisyah, isteri Rasulullah pergi menghartar orang kahwin. Apabila pulangnya Aisyah, Rasulullah bertanya ada tak nyanyian-nyanyian. Aisyah menjawab tidak ada. Rasulullah berkata, mengapa tidak ada. Sedangkan golongan ansar sangat suka pada nyanyian, ghazal. Kita perlu gembirakan pengantin, doakan mereka. Rasulullah menyuruh lakukan nyanyian.

PENUTUP

Sahabat yang sentiasa dirahmati Allah, ketahuilah bahawa semakin banyak kita belajar, semakin banyak kita tidak tahu. Menegur mereka yang lebih tua daripada kita sukar untuk dilakukan. Dikuatiri berlakunya bergaduhan, pertengaran dan sebagainya. Sebagai anak muda, yang sudah mengerti erti nikmatnya Islam dan Iman, gunakanlah akal yang diberi oleh Allah, untuk menegur mereka secara hikmah. Lakukan lah lawak jenaka, lakonan dan sebagainya supaya mereka boleh menerima apa yang ditegur dan tidak mengguris hati mana-mana pihak. Sebagai ibu dan ayah pula, nasihat yang diberikan oleh anak-anak hanya satu sahaja tujuannya.
“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai ( perintah ) Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan”, Q.S. A-Tahrim/66: 6.
InsyaAllah, suka saya dengan nasihat Imam Muda Asyraf, orang mukmin itu berbeza dengan orang Islam. Orang mukmin itu, akan bertanya dahulu, baru mereka buat, tetapi orang Islam akan buat dahulu, baru mereka bertanya.
Wallahualam...


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO