Wednesday, April 20, 2011

CERPEN : MATAHARI


MATAHARI

Pagi yang gelap kini sudah terang. Aiman bersama rakan-rakannya memulakan hari dengan satu semangat baru. Bermula dengan bacaan suci Al-quran seterusnya aktiviti senaman ringan. Pagi ini berbeza dengan hari-hari biasa. Tidak seperti kebiasannya, jurulatih bola baling akan mengarahkan mereka untuk turun ke padang dan berlari sebanyak 20 pusingan. Aktiviti permulaan dilakukan seperti berlari ulang alik sebanyak 50 kali ia sering kali menjadi rungutan Aiman dan rakan-rakannya. Namun kini, itulah aktiviti yang paling dirinduinya.

Kini, tibalah hari penentunya. Hari pertandingan bola baling peringkat Zon Kuala Besut.  Pagi itu, bacaan suci Al-quran diketuai oleh Iskandar, jurulatih bola baling.

“ Kamu semua ikut bacaan saya,” kata jurulatih.

“ Baik Daddy,” serentak kata-kata pemain bola baling.

Panggilan Daddy merupakan panggilan manja bagi jurulatih Iskandar. Ini semua untuk kami merasakan bahawa kami adalah satu keluarga.

“ Assalamualaikum semuanya. Harinya telah tiba. Hari yang kita semua nantikan selama ini. Segala usaha yang dilakukan selama ini, hasilnya adalah pada hari ini. Daddy tidak mengharapkan kejuaraan kalian. Namun, apa yang Daddy harapkan, semangat bersama yang kita semai selama ini membuahkan hasil. Peganglah kata-kata Daddy ini, jadilah seperti Matahari. Matahari hanya akan malap apabila kiamat tiba nanti. Walaupun peratus kejuaraan kalian hanya tinggal 0.0001% sahaja, jangan menyerah kalah,” sayup kedengaran suara Daddy, namun ia mampu menggetarkan hati-hati di hadapannya.

Lagu Sunnah Berjuang dimainkan sebagai memberi semangat. Masing-masing saling memberi semangat antara satu sama lain. Itulah yang cuba disemai dalam jiwa setiap anak-anak kecil ini.

Kelihatan beberapa pasukan melakukan latihan ringan untuk perlawanan nanti. Sebanyak 6 buah pasukan yang bertanding hari ini. Ia menggunakan sistem kalah mati.

Pasukan Aiman dan rakan-rakannya diberi nama pasukan Hope. Pasukan Hope telah memenangi perlawanan untuk peringkat suku akhir dan juga separuh akhir. Kini pasukan Hope akan memasuki ke peringkat akhir. Mereka akan bertemu dengan pasukan yang digeruni, di mana setiap tahun pasti kejuaraan milik mereka. Jiwa mereka mula resah, hati mereka mula tidak keruan. Masing-masing menyatakan bahawa pasti mereka akan kalah. Masing-masing mula meluahkan perasaan rendah diri dan tidak bersemangat.Mereka berkumpul di satu tempat bersama jurulatih mereka.

“ Anak-anakku, hanya satu pesananku. Jadilah seperti Matahari. Matahari hanya akan malap apabila kiamat tiba nanti. Walaupun peratus kejuaraan kamu hanya tinggal 0.01%, jangan menyerah kalah, berjuanglah sehingga ke akhirnya,” ujar jurulatih sambil tersenyum memberi semangat.

Kedengaran panggilan masuk ke gelanggang bagi pasukan Hope dan pasukan MT. Satu semangat meresap masuk dalam jiwa setiap anak kecil itu.

Perlawanan semakin sengit apabila set pertama dimenangi oleh pasukan MT dan set kedua dimenangi oleh pasukan Hope. Set ketiga adalah penentunya. Pasukan Hope dan pasukan MT sama-sama hebat. Sekarang tinggal mata penamat. Bola dibaling ke arah Aiman dan Aiman terus membaling ke arah Syafiq. Syafiq tanpa mebuang masa terus membaling kepada Afiq. Seterusnya Afiq terus membaling ke arah Fauzi dan dengan semangat Fauzi terus membaling ke arah penjaga gol. Masa seakan-akan terhenti. Penjaga gol pasukan MT tersungkur.

Preeetttt.

Masa tamat dan pasukan Hope menjuarai Pertandingan Bola Baling peringkat Zon Kuala Besut pada tahun 2011 dan sekaligus menjatuhkan pasukan MT yang telah menjuarai 3 tahun berturut-turut.

Kini, kenangan lalu menjadi sejarah yang terindah. Hampir semua pemain, menjadi jurulatih bola baling. Walaupun kerjaya mereka berbeza, namun kata azimat itulah yang sering dilaungkan. Jadilah seperti Matahari. Matahari hanya akan malap apabila kiamat tiba nanti.


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

0 comments:

Post a Comment